Keunikan bidang Sains Bioperubatan

Ramai lagi di luar sana yang kurang jelas tentang kelebihan dan keunikan bidang pengajian Sains Bioperubatan. Bidang ini mempunyai skop and pencapaian yang luas dan menyeluruh. Ia menggabungkan kursus sains asas seperti mikrobiologi, fisiologi dan kimia dengan kursus perubatan seperti patologi, farmakologi dan imunologi.

Bidang sains bioperubatan membuka peluang kepada individu yang berminat untuk mengembangkan pemahaman mereka tentang anggota badan manusia dan melakukan penyelidikan saintifik dan makmal untuk membantu proses mengdiagnosis dan merawat penyakit. Anda akan menguji, menganalisis dan mengkaji secara komprehensif untuk memberi nasihat kepada pengamal perubatan.

Bidang ini agak fleksibel dan graduan akan mempunyai pelbagai laluan kerjaya untuk diceburi. Berikut adalah beberapa contoh pekerjaan yang boleh diterokai oleh siswazah dengan ijazah sarjana muda sains bioperubatan.

  1. Penolong pegawai perubatan

Ijazah sains bioperubatan mempersiapkan anda untuk menceburi kerjaya sebagai penolong pegawai perubatan. Kerjaya ini memberi ruang kepada anda untuk melakukan rawatan kecemasan atau rawatan awal sama ada di klinik kesihatan, jabatan pesakit luar, wad dan jabatan kemalangan di hospital swasta ataupun kerajaan.

Sekiranya, anda cenderung ke arah pengkhususan ini, ijazah bioperubatan boleh memberikan anda kelebihan tertentu. Dengan latihan professional, anda boleh memeriksa atau mendiagnos penyakit ringan serta memberi kaunseling atau pendidikan kesihatan kepada pesakit dan masyarakat setempat.

  1. Penyelidik Bioperubatan / Saintis makmal perubatan

Bidang penyelidikan sains bioperubatan terus berkembang dengan pantas. Peluang pekerjaan bagi lulusan sains bioperubatan merangkumi penyelidikan di hospital kerajaan dan swasta, universiti, makmal, jabatan penyelidikan dan pengembangan syarikat pembuatan makanan, serta syarikat farmaseutikal dan institusi penyelidikan. Ini turut membuka peluang untuk anda meneruskan penyelidikan strategik tentang topik unik atau umum yang menarik minat anda.

  1. Pakar Aplikasi (bidang klinikal dan perubatan)

Ijazah Sains Bioperubatan boleh mempersiapkan anda untuk mengejar kerjaya sebagai Pakar Aplikasi (Application Specialist) di dalam bidang klinikal dan perubatan. Anda dapat mendemonstrasikan produk dan latihan klinikal atau perubatan terpilih atau melakukan persembahan produk secara rasmi dengan alat bantuan latihan yang tersedia apabila diperlukan.

Application Specialist memerlukan kemahiran tinggi dalam menilai keperluan pelanggan, menjelaskan dan menunjukkan produk yang memerlukan keterangan teknikal. Anda juga perlu berupaya menerangkan kegunaan atau cara-cara mengaplikasikan produk klinikal tersebut. Selain itu, anda juga berperanan melatih doktor dan jururawat mengenai teknik dan penggunaan produk diagnostik dengan tepat.

  1. Penulis teknikal/sains

Sebagai penulis teknikal, secara umumnya anda akan meneliti, menulis dan mengedit berita atau artikel untuk penerbitan jurnal dan teknikal serta menghasilkan penulisan komersial atau penyelidikan untuk menerangkan maklumat teknikal dengan cara yang mudah. Ini dapat membantu orang ramai memahami topik yang dibincangkan dengan lebih mudah.

Penulis teknikal perlu memahami maklumat, teori dan praktikal saintifik yang kompleks. Anda perlu memiliki kemahiran menulis atau merumus yang baik untuk membentangkan maklumat yang perlu secara jelas, ringkas dan tepat.

Kerjaya ini juga turut dikenali sebagai scientific journalist jika anda melaporkan berita yang spesifik tentang bidang sains dan menjalankan penyelidikan atau kajian yang lebih mendalam untuk media.

 

SEGi menawarkan program Sarjana Muda Sains Bioperubatan (Kepujian) selama 3 tahun selaras dengan Pelan Strategik Tinggi Nasional untuk menghasilkan ramai  graduan saintis dan penyelidik yang berkualiti tinggi di Malaysia. Untuk ketahui lebih lanjut, layari www.segi.edu.my, atau hubungi 03-6145 1777 atau WhatsApp 011-1210 6389.

Spread the love