Jana pendapatan melalui YouTube

Di zaman serba canggih ini, YouTube merupakan antara platform video paling popular di kalangan masyarakat Malaysia untuk menjana pendapatan tambahan. Malah, ada juga di antara mereka yang berjaya jana pendapatan yang konsisten melalui platform ini, sehinggakan ada YouTuber – gelaran yang dipakai untuk pengguna platform tersebut – yang mampu menjana pendapatan yang mencecah jutaan Ringgit.

Sekiranya anda berhasrat untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan ingin memulakan bisnes melalui platform ini, anda boleh ikuti beberapa strategi di bawah untuk jana pendapatan lumayan melalui YouTube.

  1. Penghasilan video yang kreatif dan menarik

Sudah pasti dengan kandungan video yang kreatif dan menarik, anda akan meraih ramai penonton ataupun viewers serta subscribers untuk akaun YouTube anda. Sebagai permulaan, anda boleh mengikuti kelas atau program yang boleh memberikan anda pengetahuan dan langkah yang jelas tentang cara membuat video yang berkualiti. Antara kelas atau program yang boleh anda ikuti adalah, Pengurusan Media Sosial, Penyuntingan Video, Keusahawanan Digital ataupun Pembangunan Kandungan Kreatif. Tenaga pengajar yang berpengalaman dalam bidang ini akan berkongsi tip dan langkah yang tepat untuk meningkatkan kemahiran serta kreativiti anda. Dengan pembangunan video yang berkualiti, kreatif dan menarik, ia akan meningkatkan penglibatan (engagement) orang ramai melalui komen dan peningkatan followers (pengikut/peminat) apabila mereka  suka dan kongsi (like dan share) video anda.

Sebagai contoh, antara kandungan menarik yang biasa dimuatnaik oleh YouTuber fesyen atau makanan adalah promosi atau review produk. Ini akan meningkatkan lagi carian dan langganan (subscribership) untuk akaun anda. Apabila YouTuber seperti ini meraih pengikut yang ramai, mereka akan dikenali sebagai influencer yang boleh mempengaruhi pengguna untuk membeli atau melanggan sesuatu produk atau perkhidmatan. Mereka boleh  mencadangkan produk tersebut kepada pengguna dan menerbitkan video unboxing untuk sesuatu produk untuk mempengaruhi pasaran.

  1. Optimumkan SEO video anda

Menurut blog NiagaHoster, kata kunci atau keyword memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan video yang anda cipta. Keyword adalah sangat penting untuk menarik minat penonton baru ataupun subscribers. Selain itu, sekiranya anda ingin membina kerjaya atau menjadi usahawan dalam bidang seperti ini, anda harus ketahui niche atau tema yang anda betul-betul minati untuk membuat kandungan video untuk kegunaan pemasaran digital. Ini akan memudahkan lagi carian pengguna . SEO yang tepat juga boleh meningkatkan pelawat ke laman sosial atau sesawang bisnes anda.

Selain itu, anda juga perlu ketahui teknik menganalisa tren terbaru di YouTube dan peka dengan konten-konten terkini atau viral untuk terus meningkatkan jumlah peminat atau views untuk video anda. Aplikasi seperti Google Trends boleh membantu anda mengenali keywords yang kerap atau jarang digunakan oleh pengguna Internet dan memuatnaik kandungan atau kata kunci yang lebih sesuai.

  1. Pastikan peralatan dan kelengkapan yang diperlukan berkualiti dan mencukupi

Kamera memainkan peranan besar dalam penghasilan video yang berkualiti. Untuk menjadi YouTuber atau influencer yang digemari, anda boleh merekod video menggunakan smartphone, seperti Samsung S10+ ataupun Iphone X untuk mendapatkan hasil video dan audio yang berkualiti. Sekiranya mempunyai bajet lebih, dapatkan kamera DSLR untuk penghasilan video bertaraf profesional. Selain itu, microphone juga merupakan salah satu alat penting untuk merekod video. Pastikan audio yang dihasilkan sempurna dan jelas didengari oleh penonton video anda supaya anda mendapat engagement yang tinggi dan konsisten.

Di samping itu, tripod kamera dan lampu pencahayaan boleh mempengaruhi kualiti video anda. Kedua-dua peralatan ini perlu dititik beratkan agar video yang dihasilkan cantik dan disukai penonton. Jika anda tidak ada bajet yang mencukupi untuk mendapat peralatan pencahayaan, pastikan video anda dirakam di bilik atau ruang yang mempunyai pendedahan cahaya yang baik.

  1. Kongsikan link YouTube untuk jana pengikut dan keuntungan

Platform Facebook, Instagram dan Twitter boleh dijadikan sebagai landasan pemasaran video YouTube anda. Kongsikan link YouTube di platform media sosial yang lain untuk menambah jumlah subscribers. Dengan kaedah ini, anda boleh memanfaatkan followers di laman sosial yang lain untuk menyumbang kepada lebih banyak views bagi saluran anda.

Pendapatan yang diperoleh oleh YouTuber sukar untuk diramal dengan tepat, oleh kerana pendapatan mereka bergantung kepada beberapa faktor, antaranya adalah kualiti lalu lintas (quality of traffic), jenis video khusus (niche), harga iklan tertentu, adblocks, kadar klik sebenar, dan banyak lagi.

Tetapi anggaran bagi setiap 1,000 paparan video di YouTube akan memberikan pulangan wang di antara RM1 hingga RM16, menurut analisa SocialBlade, sebuah syarikat yang menjejak saluran YouTube popular dalam memberikan data kepada pihak yang berminat untuk mengiklan.

Untuk menjadi usahawan berjaya sebagai YouTuber, anda perlu memberikan komitmen 100% dalam setiap penghasilan video. Tidak mustahil bagi sesiapa sahaja untuk menjana pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit setiap bulan walaupun anda baru mula berjinak dengan platform ini.

Ramai di luar sana telah menempah nama dan berjaya mencipta kerjaya sebagai seorang YouTuber terkenal di Malaysia. Contoh selebriti YouTube adalah Alieff Irfan yang merupakan antara 10 YouTuber terkenal di Malaysia pada 2020 dan mempunyai 2.69 juta subscribers, menurut Heepsy.com. Satu lagi contoh terbaru adalah Sugu Pavithra yang mengaut keuntungan yang berlipat ganda dalam masa yang singkat setelah beliau mula memuatnaik video masakan rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan di Malaysia pada bulan Mac lepas. Beliau membuktikan bahawa anda tidak memerlukan sebarang pelaburan besar untuk menggiatkan diri dalam pemasaran digital. Dengan konsep serta persediaan yang betul, anda juga boleh menempa nama sendiri dan mencipta kerjaya dengan menjadi usahawan YouTuber atau pemasar digital yang berjaya.

Spread the love